Dr Zaharuddin : BONUS BULAN PUASA'
SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA
Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki
rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati
oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan
jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.
Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya?
Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira
berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta
dunia.
"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"
TAWARAN BONUS LUAR BIASA
Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban
Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah.
Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi
disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti
suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab
keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan
tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan
keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat,
memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga
akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar
ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith
ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk
dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana
pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Beberapa ulama
seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr
Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya
berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Perlakuan dosa juga
bertambah serius di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa
dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini.
Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana
perlakuan dosa didalamnya adalah sesuatu yang serius.
SYAITAN KENA GARI?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi
SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu
neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim,
1/41) ; terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa bulan ini dinamakan
‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah
bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada
pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di
atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud
ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana
penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa
at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )
Ada juga yang
menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu,
manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang
membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah
akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan
ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah
kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam
Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).
MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan
keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut
perlu dilakukan:-
1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.
2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan
subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW
bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun
bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan
solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum
menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat
tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di
sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan
amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah
malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan
oleh Baginda SAW.
3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan
membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca
hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil
berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail
as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.
4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa
merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di
tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka,
orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu,
dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga
berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat
At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan
menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad
Syakir)
5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu
berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ;
Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah
jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik
kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib
kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat
Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu
Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).
7) Adalah digalakkan pula
untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar
(kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan
dengan meneguk air.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن حسا حسوات من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum
solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda
meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah
tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith
Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.
Amat disunatkan untuk
menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai
terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang
berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa
kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut
Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (
berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu
minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat
Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )
9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah
buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia
berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk
menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya
bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.
No comments :
Post a Comment